7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA,
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

SAYAP PARTI


7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

ALOR SETAR, 7 Ogos – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat cuba bermain sentimen emosi rakyat dan ahli UMNO dengan membayangkan diri beliau ‘konon’ adalah ‘mangsa’ percaturan politik apabila mengeluarkan kenyataan sayangkan UMNO lantaran tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ketika melepaskan jawatan Menteri Besar dua tahun lalu.

Pengerusi Kelab Belia Darulaman yang juga pengamal undang-undang, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menegaskan bahawa kuasa membubarkan DUN Kedah adalah terletak pada kuasa budi bicara Sultan Kedah.

“Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah menyatakan sedemikian kuasa mutlak pembubaran DUN terletak pada kuasa budi bicara Sultan Kedah. Menteri Besar tiada kuasa tersebut.

Syed Mohd Johan Rizal diminta mengulas mengenai kenyataan Mukhriz yang mendakwa beliau boleh membubarkan DUN Kedah ketika insiden krisis kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah namun hasrat tersebut tidak dibuat kerana sayangkan UMNO dan BN.

“Pada pandangan saya, kenyataan Mukhriz ini hanyalah permainan retorik politik.

“Kenyataan Mukhriz tersebut hanyalah sekadar menyembunyikan dan memesongkan fahaman rakyat mengenai undang-undang sedia ada dan juga bermotif politik yang cuba bermain emosi rakyat dengan menyegarkan kembali simpati terhadapnya selepas kehilangan jawatan Menteri Besar.”

Tegasnya, Menteri Besar hanya berkuasa untuk memberi nasihat sahaja kepada Baginda, dan Sultan Kedah tidak bertindak atas nasihat MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan) dalam perkara pembubaran DUN.

“Jadi, keputusan membubarkan Dun atau sebaliknya adalah merupakan budi bicara Sultan Kedah atau ketika itu Jemaah Pemangku Sultan Kedah,” katanya di sini, hari ini.

“Bekas Menteri Besar Kedah tidak mempunyai sebarang kuasa untuk membubarkan DUN, namun hanya berkuasa menasihati Sultan Kedah untuk berbuat demikian.”

Peguam itu turut menjelaskan bahawa kes berkenaan boleh dirujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan membabitkan pertikaian antara Datuk Seri Nizar Jamaluddin dengan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berhubung DUN Perak sebelum ini.

“Boleh rujuk pada kes Datuk Seri Nizar Jamaluddin vs Datuk Seri Zambry di Perak, kesnya serupa,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, apa yang berlaku di Kedah sebelum ini adalah peralihan kuasa yang membabitikan undi tidak percaya yang dilakukan berdasarkan surat akuan bersumpah melalui Siasatan DiRaja.

Katanya, ekoran Mukhriz tewas dalam undian tidak percaya terhadapnya dalam siasatan tersebut, maka Jemaah Pemangku Sultan Kedah mendapati beliau perlu melepaskan jawatan Menteri Besar dan tidak timbul soal membubarkan DUN.

“Apa yang berlaku adalah undi tidak percaya. Undi tidak percaya itu dibuat melalui Siasatan DiRaja, menerusi surat akuan. Itulah yang menyebabkan dia terpaksa meletak jawatan. Tidak timbul soal bubar DUN pun,” tegasnya mengimbas apa yang berlaku. -MediaUMNO

LAMAN WEB RASMI UMNO MALAYSIA

Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Tingkat 38, Menara Dato' Onn, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia