7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA,
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

SAYAP PARTI


7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

MERLIMAU, 6 Ogos – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ir. Idris Haron menegaskan sikap wala’ terhadap pemimpin merupakan kunci kepada kekuatan UMNO yang akan menjadikan parti ini lebih kukuh dan utuh dalam menghadapi apa juga cabaran terutamanya berdepan pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Jelas beliau, kesetiaan kepada institusi kepemimpinan dan perjuangan parti perlulah diutamakan melebihi kepentingan peribadi demi memastikan UMNO terus gagah melangkah untuk menghadapi cabaran dalam pilihan raya umum nanti.

“Analoginya mudah, apabila kita bergerak di dalam parti maka apa pun kata ketua kita mesti dengar dan taat. Barulah parti boleh melangkah gagah terutama untuk menghadapi PRU ke-14 nanti. Saya percaya, jika semua ahli UMNO bersikap wala’ terhadap kepimpinan parti, maka kita akan menjadi sebuah parti pilihan yang solid tanpa ada pecah-belah.

“Apabila struktur dan jentera parti dalam keadaan yang kukuh, maka mudahlah kita untuk bekerja keras mempertahankan dan merampas semula mana-mana kawasan yang telah terlepas kepada pembangkang pada PRU ke 13 dulu.

“Loceng pilihan raya ke-14 akan berbunyi pada bila-bila masa dan sehubungan itu, jentera UMNO hendaklah sentiasa dalam mood bersedia dan berusaha untuk terus memperkukuhkan parti. Sikap berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi pilihan raya ini hendaklah kita hapuskan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan perwakilan sayap wanita,pemuda dan puteri UMNO Bahagian Jasin sebelum merasmikannya di Kolej Politeknik Merlimau hari ini.

Tambah Idris lagi, biarpun terdapatnya suara-suara sumbang termasuk di kalangan ahli UMNO sendiri yang mengatakan bahawa UMNO akan kalah pada PRU ke-14, tetapi hal ini hanya akan berlaku sekiranya parti berada di dalam keadaan lemah dan tidak bersatu.

“Kita jangan menyerah kalah sebelum berjuang. Analoginya mudah, jika kita lemah dan tidak bersatu maka sudah tentu kita boleh kalah. Justeru, orang Melayu terutamanya ahli UMNO perlu mempertahankan kedaulatan negara yang telah dibina sejak sekian lama dengan penuh keperitan oleh para pejuang terdahulu. Kita bimbang, jika negara jatuh ke tangan yang salah, maka natijahnya sangat besar buat kita.

“Sekiranya UMNO hilang kuasa, secara tidak langsung orang Melayu juga akan hilang kuasa. Jika itu berlaku maka kita akan hilang segala-galanya. Maka, kita sudah semestinya kena bersyukur dengan segala anugerah kemakmuran dan keamanan dengan meletakkan keredaan Allah sebagai tonggak dalam perjuangan kita,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut menasihati rakyat, khususnya orang Melayu dan ahli UMNO agar berhati-hati menerima sebarang maklumat serta dakwaan terhadap kepimpinan UMNO dan kepimpinan negara dari pihak luar terutamanya pembangkang.

“Dalam era globalisasi, maklumat kini dihujung jari. Sebagai umat Islam, kita perlu berhati-hati dalam menerima atau mempercayai maklumat dan apa juga dakwaan terhadap kepimpinan negara dan parti daripada pembangkang termasuklah pihak luar.

“Selidiklah dulu segala maklumat yang kita perolehi terutama di media sosial. Kita khuatir pihak yang menghebahkan maklumat yang memburuk-burukkan kepimpinan UMNO dan negara ini mempunyai agenda dan muslihat tertentu untuk memporak perandakan rakyat serta mahu campur tangan dalam pentadbiran negara,” akhirinya.-MediaUMNO

LAMAN WEB RASMI UMNO MALAYSIA

Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Tingkat 38, Menara Dato' Onn, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia