7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA,
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

SAYAP PARTI


7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

SEMENYIH, 4 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz membidas tindakan kerajaan negeri Selangor yang memendekkan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai memperlihatkan mereka tidak serius untuk membincangkan isu-isu rakyat negeri itu yang begitu banyak untuk diperjelaskan.

“Ini secara tidak langsung memperlihatkan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali dan exco kerajaan negeri seolah-olah takut dan tidak mahu menjawab beratus persoalan yang mahu dibangkitkan dalam persidangan DUN,” tegasnya.

Lantaran itu beliau menyarankan kerajaan Selangor menukar slogan ‘Peduli Rakyat’ kepada ‘Pembuli Rakyat’ memandangkan tindakan mereka itu yang tidak bersungguh mahu menyelesaikan permasalahan rakyat yang dibawa ke persidangan DUN.

“Bayangkanlah, mereka hanya menjawab 36 soalan sahaja daripada 297 soalan yang perlu dijawab oleh kerajaan negeri. Tindakan ini jelas memperlihatkan hanya mahu menutup kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Azmin Ali dan sekaligus membuktikan bahawa kerajaan Selangor bukan kerajaan yang peduli rakyat, sepertimana slogan yang mereka uar-uarkan,”ujarnya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh telah menamatkan persidangan DUN kali kelima itu lapan hari lebih awal sedangkan ia sepatutnya berlangsung selama 10 hari.

“Sebagai contoh, di mana saya sendiri mempunyai 20 soalan, 10 soalan lisan dan 10 bertulis yang akhirnya tidak dapat didengari di persidangan DUN ekoran ditamatkan lebih awal. Bagaimana kita mahu mengutarakan permasalahan rakyat jika kerajaan negeri mengelak dengan menamatkan persidangan lebih awal dari yang sepatutnya.

“Jika beginilah tindakan kerajaan negeri, maka adalah lebih baik slogan ‘Peduli Rakyat’ itu dibuang dan digantikan dengan ‘Pembuli Rakyat’ memandangkan kerajaan negeri seolah-olah tidak mengambil berat untuk menyelesaikan permasalahan rakyat di dalam persidangan tersebut,” tegasnya.

Justeru, beliau mengharapkan agar rakyat di Selangor sedar bahawa kerajaan PKR Selangor hari ini bukanlah sebuah kerajaan yang benar-benar mahu berkhidmat untuk rakyat, tetapi menjadikan rakyat di negeri ini sebagai ‘alat’ demi kepentingan politik kepartian peribadi mereka.

“Jika kerajaan negeri benar-benar sebuah kerajaan yang peduli tentang nasib rakyat, mereka sepatutnya bersidang mengikut tempoh yang ditetapkan agar segala permasalahan rakyat dalam dibincangkan dan diberi jawapan dalam persidangan DUN,” ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail turut menyelar tindakan kerajaan negeri yang menamatkan persidangan DUN lapan hari lebih awal daripada tempoh 10 hari yang diperuntukkan serta menyifatkan tindakan tersebut menggambarkan kerajaan negeri tidak bersungguh dalam membela nasib rakyat di Selangor.-MediaUMNO

LAMAN WEB RASMI UMNO MALAYSIA

Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Tingkat 38, Menara Dato' Onn, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia