7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA,
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

SAYAP PARTI


7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mendakwa, parti serpihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan memberi ancaman besar kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Ini kerana kata beliau, orang Melayu tidak mempunyai banyak pilihan untuk memilih parti yang benar-benar berwibawa dan mempunyai rekod cemerlang memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Dalam keadaan tiada pilihan itu, orang Melayu pasti akan terus mengekalkan sokongan mereka kepada UMNO seperti mana berlaku pada PRU ke-13, biarpun keputusan pada ketika itu agak mengecewakan,” tegasnya dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspot.my.

Atas kesedaran itu jelas beliau, UMNO di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak telah dan akan melakukan yang terbaik demi untuk kepentingan orang Melayu dan generasi akan datang.

Menurut beliau, walaupun ada penganalisis politik melontarkan hujah bahawa UMNO menghadapi laluan sukar kerana ancaman PPBM, tetapi pandangan seperti itu tidak mencerminkan realiti sebenar lanskap politik masa kini.

Pandangan tersebut katanya, berkisar kepada momentum persekitaran di mana jumlah kehadiran orang ramai mendengar ceramah politik PPBM dijadikan kayu pengukur.

“Kita tidak boleh sukat dengan mengira jumlah kehadiran, betul, mungkin ramai yang hadir, tetapi barangkali kehadiran itu sekadar mahu mendengar apa lagi isu atau hujah baru pembangkang untuk memburukkan imej UMNO,” katanya.

Menurut Syed Ali, ceramah politik pembangkang terutama membabitkan PPBM tidak melontarkan isu baru sebaliknya hanya beberapa perkara dikitar semula untuk mencerminkan kelemahan kerajaan.

“Berdasarkan maklumat, kehadiran orang ramai hanya mahu mendengar celoteh pemimpin PPBM termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berterusan mencalarkan kepimpinan Najib selaku Presiden UMNO,” tegasnya.

Syed Ali menjelaskan, orang Melayu tidak sebegitu mudah untuk memberi keyakinan kepada parti PPBM yang bersekongkol dengan parti rasis Dap biarpun pakatan pembangkang menonjolkan imej Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, penonjolan keterlaluan imej Dr Mahatahir dan Anwar bagi mengemis simpati dan sokongan pengundi tidak akan memberi impak besar kepada kekuatan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya jelas beliau, usaha Pakatan Harapan mewajahkan Dr Mahathir dan Anwar sebagai ikon politik negara sebenarnya hanya memberi ruang kepada rakyat untuk menilai sejauhmana kejujuran mereka.

“Tindakan menghalalkan cara di atas isu sebelum ini membabitkan perseteruan Anwar dengan bekas pemimpin UMNO tidak mengundang keyakinan kepada pengundi sejauhmana kekuatan mereka,” tegasnya.

Menurut beliau, Pakatan Harapan yang dibentuk dengan dokongan Dap, PPBM, PKR dan parti PAN adalah pakatan terlalu rapuh sehingga memaksakan mereka memperalatkan Dr Mahathir.

Sehubungan itu, Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menegaskan, UMNO perlu bijak untuk menggunakan kelemahan dan ketidaksepakatan blok pembangkang menjelang PRU akan datang.

Beliau berkata, ketika sokongan orang Melsayu semakin meningkat terhadap UMNO, pemimpinnya perlu lebih pro-aktif untuk menyantumi hati nurani rakyat.

“Jangan ketika tarikh PRU diumumkan, baru kita (pemimpin UMNO) hendak turun padang, perbuatan sedemikian hanya mengundang kebencian pengundi,” tegasnya.

Ditanya mengenai perkembangan terkini hubungan politik PAS – UMNO, beliau memberitahu apa juga perkembangannya terletak kepada pucuk pimpinan.

“Kita di bawah akur dan sentiasa menyokong pendirian Presiden UMNO, buat masa sekarang kita fokuskan kepada persiapan menghadapi PRU ke-14 untuk berdepan dengan blok Pakatan Harapan,” tegasnya.

LAMAN WEB RASMI UMNO MALAYSIA

Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Tingkat 38, Menara Dato' Onn, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia