7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA,
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

SAYAP PARTI


7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

GERIK, 30 Julai – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengingatkan ahli UMNO agar tidak mengambil mudah dan tidak hilang fokus untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan memberi tumpuan sepenuhnya agar parti mencapai kejayaan.

Menurut beliau pada waktu ini tumpuan utama adalah kemenangan pada pilihan raya umum dan bukannya pemilihan di dalam parti serta pada masa bersiap sedia malah apa yang lebih penting masing-masing bersatu padu dan tidak berpecah belah.

“Kita kena menang, cabaran kita besar dan jangan ambil mudah…walaupun kita tahu parti-parti pembangkang berkelahi…adanya pakatan harapan tetapi tidak ada harapan…kita jangan ambil mudah dengan apa yang berlaku di sekeliling kita sebaliknya bersiap siaga menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa sahaja.

“Keduanya jangan kita berpecah belah…di Gerik ini, Alhamdulillah kesatuannya cukup erat dan pastikan kekal serta jaga elok-elok perpaduan dan jangan berpecah belah disebabkan masalah kecil.

“Kekalkan perpaduan yang tuan puan jaga selama ini. Biarpun ada perbezaan pendapat dan pandangan itu adalah biasa…mana ada ada parti yang tidak ada perbezaan. Parti yang tidak ada perbezaan adalah karut. Dalam konteks kita, itu adalah satu rahmat. Jangan jadikan pula perbezaan itu sebagai perkara yang boleh merosakkan parti. Anggap kepelbagaian adalah kekuatan maka insya-Allah kita akan kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat UMNO bahagian Gerik, di sini, hari ini.

Turut serta Ketua UMNO bahagian Gerik, Datuk Hasbullah Osman, mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan pimpinan empat peringkat serta rakan-rakan pimpinan komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak seterusnya menegaskan ahli UMNO juga perlu istiqamah dengan perjuangan dan pada masa yang sama perlu mempunyai sikap merendah diri.

“Kita kena istiqamah, jangan dengar cucuk sana dan cucuk sini. Dalam politik macam-macam yang kita dengar tetapi apa yang penting adalah istiqamah kita kepada parti. Jangan mudah terpedaya dengan cerita yang datang.

”Selain itu, kita kena akui kekurangan yang ada pada kita… jangan jadi manusia yang sombong dan angkuh. Contoh, mentang-mentang sebelah sana (pembangkang) kucar-kacir maka kita berpeluk tubuh. Jangan begitu, kita mesti ada sifat rendah diri kita.

“Kita ada kekurangan sepanjang kita memimpin sama ada ketika menjadi wakil rakyat dan memimpin bahagian serta sebagainya lagi. Perbetulkan cepat-cepat… jangan nasi dah jadi bubur menangis sekali pun tidak akan mampu membawa perubahan,” katanya.

Terakhir tegas Dr Zambry, adalah sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dan ianya bukanlah menjadi rahsia besar kepada semua. – MediaUMNO

LAMAN WEB RASMI UMNO MALAYSIA

Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Tingkat 38, Menara Dato' Onn, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia