7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA,
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

SAYAP PARTI


7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

MARAN, 30 Julai – UMNO kekal sebagai parti yang memerintah sejak 60 tahun lepas kerana mempunyai falsafah, hala tuju dan keteguhan perjuangan yang jelas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden UMNO itu berkata tiga ciri berkenaan digariskan sarjana sains politik Perancis, Alexis de Tocqueville, dalam bukunya bertajuk ‘Democracy in America’ dengan menyatakan ia adalah perkara yang wajib ada dalam sebuah parti yang hebat.

“Banyak perkara yang telah kita lakukan dan sebagai sebuah parti yang wujud sejak 1946, kita masih bertahan setelah sekian lama. Sudah berusia 71 tahun dan 60 tahun berkuasa sejak merdeka… dan masih tidak putus-putus.

“Tidak sekali kita terkeluar atau tergelincir daripada memegang tampuk kepimpinan negara. Itulah rekod cemerlang UMNO yang tiada tandingannya,” kata beliau semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Maran di Pekan Tajau di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Ketua UMNO Bahagian Maran Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Najib berkata tiga ciri berkenaan juga tiada dalam pakatan pembangkang yang masih berkecamuk dari segi ideologi, falsafah dan perjuangannya.

“Tak mungkin parti yang ada tiga nakhoda boleh kita katakan sebagai parti yang jelas hala tuju kepimpinannya sehinggakan siapa nak menjadi perdana menteri pun masih kabur sehingga hari ini.

“Ada pula istilah perdana menteri sementara…tak pernah saya dengar… sama ada sementara untuk sebulan? enam bulan? atau beberapa tahun?,” soal beliau sambil disambut dengan tepukan anggota perwakilan.

Selain itu, Najib juga mengingatkan anggota UMNO supaya tidak sekadar menjadi anggota tetapi perlu menjadi ‘orang UMNO’ yang mempunyai perasaan kasih, sentiasa berjuang dan tidak akan melakukan perkara merugikan apa tah lagi mengkhianati parti.

“Jangan jadi seperti orang yang sudah menjadi ketua selama 22 tahun, anak sudah kaya-raya… sudah melimpah ruah harta, tapi sanggup bersekongkol untuk meruntuhkan UMNO. Kita jangan jadi orang seperti ini… jadi orang yang setia kepada parti,” kata beliau.

Najib berkata beliau juga tidak gusar menghadapi tentangan daripada ‘orang tersebut’ kerana percaya rakyat Malaysia sudah semakin bijak menilai berdasarkan kepada pelbagai pencapaian dan pembangunan selepas beliau memegang tampuk pemerintahan.

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Massa (MRT) yang merupakan sistem pengangkutan awam paling moden di dunia, yang turut menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.

Perdana Menteri juga membangkitkan tentang ‘pertemuan tidak dirancang’ antara beliau dan Anggota Jawatankuasa PAS Lipis Mahyudin Ghazali pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Lipis hari ini.

“Saya terkejut. (Mahyudin) bukan setakat hadir malah selepas itu beliau hendak bergambar dan peluk saya. Biarlah Mahathir (Tun Dr Mahathir) dakap Lim Kit Siang (Penasihat DAP). Saya dakap PAS,” katanya.

Najib berkata beliau difahamkan kehadiran Mahyudin ke persidangan itu adalah kerana anggota PAS itu merupakan mudir sekolah tahfiz menyebabkan beliau tertarik dengan dasar tahfiz negara yang diperkenalkan olehnya.

“Saya perdana menteri pertama yang buat dan jika kena pada syaratnya, boleh terima dana RM30,000 untuk sekolah tahfiz berkenaan. Ini membuktikan kita bukan hanya jaga ekonomi, malah agama juga kita jaga,” kata beliau.-MediaUMNO

LAMAN WEB RASMI UMNO MALAYSIA

Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Tingkat 38, Menara Dato' Onn, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia