7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA,
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

SAYAP PARTI


7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

SEGAMAT, 28 Julai – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn hari ini menyelar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang seharusnya lebih maklum, bahawa pembayaran dibuat seminggu sekali atau seminggu selepas dihantar buah ke kilang di atas permohonan peneroka sendiri.

Sehubungan dengan itu jelas beliau, sebarang isu atau persoalan pembayaran hasil peneroka yang ditimbulkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah diselesaikan melalui dana pembayaran hasil kebun peneroka.

“Permohonan kira-kira 4,000 peneroka sudah selesai sama ada melalui akaun atau tunai. Pengurusan kebun peneroka juga diperkemaskan. Semua aduan termasuk melalui sosial media difahamkan telah diteliti satu persatu oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

“Akaun peneroka kebanyakan sudah dimuktamadkan. Apa sahaja isu yang lain sedang dirunding di antara peneroka dengan pengurus rancangan. Adakah ini tanda Muhyiddin mula bimbang dengan penyelesaian Felda?” ujarnya dalam satu kenyataan mengulas pertikaian Muhyiddin yang mendakwa warga Felda perlukan satu penyelesaian menyeluruh terhadap permasalahan yang dihadapi.

Terdahulu, Muhyiddin berkata pemberian insentif yang bersifat ‘one-off’ sebelum menjelang pilihan raya umum bukanlah penyelesaian yang sebenar malah hanya boleh meringankan beban mereka buat sementara waktu.

Dalam pada itu tegas Bastien, Muhyiddin perlu tahu terlalu banyak penambahbaikan yang sudah diterima peneroka selama ini.

“Antaranya pemberian geran tanam semula Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sebanyak RM7,500 satu hektar yang akan mengurangkan tanggungan peneroka. Sekarang peneroka menabung dan tambahannya dari Felda perlu dibayar balik. Pemberian geran ini menyamakan peneroka Felda dengan pekebun kecil biasa (persendirian – luar Felda).

“Dana Pelupusan Hutang Berlebihan RM300 juta selama 5 tahun juga akan melupuskan hutang yang berlebihan akibat dari kesilapan Felda. Ini akan membawa tahap hutang kepada jumlah yang sederhana.

“Saham Amanah Felda iaitu 730 juta saham FGV dipegang oleh Felda bagi pihak peneroka dan dividen dari blok saham FGV ini diagihkan kepada peneroka yang layak serta petugas Felda. Impaknya seolah seorang peneroka yang layak mendapat dividen dari 7,500 unit saham FGV sebagai tambahan dividen dari 800 unit yang dimiliki sendiri,” jelasnya.

Katanya lagi, penjelasan 50 peratus harga saham FGV juga mengurangkan beban kos 800 unit saham FGV yang ditanggung oleh peneroka.

“Dalam kata lain, dividen diterima adalah RM3,200 kepada setiap peneroka,” tegasnya.

Tambah Bastien, Muhyiddin sepatutnya mengambil berat kedudukan Felda ketika di dalam kerajaan.

“Tidak perlu tunggu sehingga Tan Sri Shahrir menjadi pengerusi. Mengapa sekarang? Mungkin sebab hendak pilihan raya dan terganggu dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib tempoh hari?

“Mengapa tidak tanya Pengerusi Felda sendiri dan suruh dia jawab? Apa yang hendak dipulihkan itu Felda. Atau Muhyiddin juga mahu berdebat bersama Pengerusi Felda?

“Kami yakin dan percaya Datuk Seri Najib bertanggungjawab membela nasib peneroka-peneroka Melayu di Felda yang dimulakan sendiri oleh bapa beliau Tun Abdul Razak Hussein,” jelasnya.

Datuk Seri Najib sebelum ini mengumumkan enam insentif bagi peneroka Felda bagi tahun ini.

Antaranya melibatkan pelupusan hutang bagi penanaman semula serta geran khas untuk aktiviti terbabit.

Kata Bastien lagi, pihaknya sentiasa mengikuti rapat perkembangan yang berlaku di Felda dan apa yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib ketika Hari Peneroka minggu lalu.

“Kalau tidak dilakukan apa-apa sudah tentu menjadi bahan untuk dikritik oleh pembangkang.

“Malah lebih pelik apabila masih ada kritikan oleh Muhyiddin yang pernah berada di dalam Kerajaan,” ujarnya.

Shahrir sebelum ini berikrar memastikan perjalanan dan pentadbiran agensi itu sentiasa berada pada integriti yang tinggi.

Katanya, pengurusan Felda juga akan dipastikan sentiasa fokus dari segi tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ke arah kelangsungan institusi dan kemajuan warga peneroka secara keseluruhan.-MediaUMNO

LAMAN WEB RASMI UMNO MALAYSIA

Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Tingkat 38, Menara Dato' Onn, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia