7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA,
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

SAYAP PARTI


7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, selagi Dap tidak mampu menjawab isu rasuah yang membelengu parti dan pemimpin mereka maka Dap tidak layak untuk bercakap soal rasuah.

Jelas beliau, mengikut rekod selama ini apa sahaja isu tuduhan rasuah yang dilemparkan terhadap Dap, belum ada satupun yang mampu dijawab atau dijelaskan dengan baik oleh mereka.

“Selama ini mereka hanya putar-belit dan menuding jari ke arah pihak lain umpama telunjuk lurus, kelingking berkait. Jika benar parti mereka bebas rasuah, maka lawanlah secara undang-undang di mahkamah.

“Segeralah ambil tindakan terhadap bekas Naib Pengerusi Dap Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim kerana Tunku Aziz dengan jelas menyatakan bahawa punca beliau keluar Dap adalah kerana rasuah yang berbeluasa dalam parti itu.

“Begitu juga tuduhan yang dilakukan oleh bekas sekutu mereka yang mendakwa Dap menerima dana sebanyak AS$300 juta (RM1.2 bilion) pada PRU-13 lalu oleh Israel. Ini adalah pertuduhan yang secara jelas mampu merosakkan imej dan maruah Dap namun mengapa tiada sebarang tindakan diambil,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Razlan, lebih menghairankan apabila Dap yang selama ini berdegar-degar menuduh Barisan Nasional (BN) mengamalkan rasuah tetapi apabila diminta untuk memberi komitmen menandatangi Ikrar Bebas Rasuah (IBR), mereka memberikan pelbagai alasan.

“Sepatutnya inilah peluang mereka untuk membuktikan bahawa parti mereka benar-benar berjuang membenteras rasuah tetapi apabila peluang didepan mata, mereka ibarat kura-kura menyorokkan kepala dalam cengkerang.

“Jadi tidak guna cakap banyak tetapi ikrar IBR pun mereka tidak berani tandatangan. Ternyata slogan Cekap, Amanah dan Telus (CAT) yang dibanggakan oleh kerajaan Dap hanya retorik politik semata-mata,” katanya lagi.

Sebagai sebuah parti pembangkang jelas beliau, memang sudah menjadi ‘tugas’ Dap untuk mencari setiap salah parti memerintah maka sebab itulah mereka suka menuduh pemimpin tertinggi negara dengan pelbagai tohmahan termasuk rasuah.

“Inilah yang dinamakan cakap tak serupa bikin. Mengata dulang paku serpih, mengata orang, dia yang lebih. Lim Guan Eng sendiri sedang berdepan isu rasuah di mahkamah dan masih tidak mampu membuktikan dia tidak bersalah.

“Ini semua adalah permainan politik kotor mereka bagi mengaburi mata rakyat,” bidas Razlan. – MediaUMNO

LAMAN WEB RASMI UMNO MALAYSIA

Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Tingkat 38, Menara Dato' Onn, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia