7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA,
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

SAYAP PARTI


7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Program Persidangan Parlimen Mahasiswa 2017 akan dilaksanakan pada 14 hingga 20 Julai ini di Parlimen Malaysia, bertujuan mewujudkan platform bagi mahasiswa sebagai generasi pemimpin pelapis di masa hadapan yang berdisiplin dan menghormati Perlembagaan Malaysia.

Pengerusi program, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata satu bengkel akan diadakan di Kuala Lumpur pada 14 Julai sebelum akan dibahaskan di Parlimen pada 18 dan 19 Julai ini.

“Tema tahun ini tema yang kontemporari, sealiran dengan dasar kerajaan untuk mewujudkan Transformasi Nasional 50 (TN50) dan Negaraku, dan juga aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi untuk meningkat tahap pencapaian Universiti tempatan.

“Parlimen Mahasiswa kali ini akan disertai lebih daripada 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan enam buah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), di mana setiap IPTA akan menghantar 10 orang wakil iaitu 5 terdiri dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan 5 orang lagi dipilih oleh pihak universiti,” ujarnya dalam sidang media di sini hari ini.

Program ini juga jelas beliau bertujuan untuk memberi pendedahan dan melatih mahasiswa berdebat sebagai satu medan untuk berbincang dan berbahas secara rasional, intelektual dan ilmiah tentang pelbagai aspek.

“Mahasiswa juga diberikan peluang dan ruang seluasnya dalam menyuarakan idea dan mengetengahkan pandangan golongan muda tanpa dipengaruhi pihak luar, justeru sebagai medium mahasiswa mengabungkan dan membentuk kesepakatan kepimpinan mahasiswa di universiti.

“Ia turut memberi pendedahan kepada mahasiswa bagaimana Parlimen berperanan menggubal undang-undang melalui proses perbahasan yang rasional demi kebaikan rakyat,” tambah yang juga Presiden MUBARAK Malaysia.

Persidangan Parlimen Mahasiswa ini telah bermula pada tahun 2015, anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Kementerian Pengajian Tinggi.

Program Parlimen Mahasiswa bukanlah suatu perkara baharu kerana ia turut dijalankan di Britain, Sweden, Australia dan negara-negara lain di Eropah sebagai platform mendidik dan melahirkan generasi pemimpin pelapis yang menghormati perundangan negara terutama perlembagaan. -MediaUMNO

LAMAN WEB RASMI UMNO MALAYSIA

Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Tingkat 38, Menara Dato' Onn, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia