7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA,
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

SAYAP PARTI


7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Apakah senario terkini yang berlaku di dalam pakatan pembangkang akan mencetuskan medan pertarungan baru antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamed?  Isunya tetap sama iaitu pertempuran untuk jawatan Perdana Menteri.

Persoalan ini mula timbul memandangkan nama Anwar Ibrahim seperti sudah mula berjaya ditenggelamkan Dr Mahathir yang kini bukan sahaja kelihatan seperti memimpin barisan pakatan pembangkang malah sudah acap kali disebut-sebut untuk menjadi perdana menteri semula sekiranya pembangkang menang dalam PRU ke 14 akan datang.

Mengulas perkara tersebut Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata berkemungkinan besar harapan PKR untuk meletakkan Anwar Ibrahim ataupun Datin Seri Wan Azizah sebagai perdana menteri lebur memandangkan wujudnya cadangan dari pemimpin pembangkang yang mahukan Tun Mahathir kembali menjadi perdana menteri.

“Kita juga boleh lihat, suara parti-parti pembangkang lain yang mahukan Anwar sebagai perdana menteri juga sudah tidak selantang dulu. Sebelum ini, parti pembangkang termasuk Pas sebulat suara mahukan Anwar tetapi hari ini tidak lagi.

“Contohnya seperti Dap. Biarpun secara zahirnya mereka mahukan Anwar, namun dalam diam ada khabar yang bertiup kencang  rundingan sulit antara Lim Kit Siang dan Tun Mahathir dalam soal ini. Bahkan mereka membiarkan sahaja kenyataan pemimpin Dap seperti Zaid Ibrahim yang secara terang-terang mencadangkan Tun Mahathir untuk sekali lagi memegang tampuk kepimpinan negara”, katanya kepada UMNO-Online.

Mungkin PKR, Anwar dan juga Wan Azizah tambah beliau akan berputih mata untuk kali kedua untuk jadi perdana menteri jika senario seperti ini berterusan.

“Jika di dalam kerajaan dulu, Tun Mahathirlah yang menjadi penghalang Anwar untuk menjadi perdana menteri. Dan apakah kita akan menyaksikan episod Tun Mahathir sekali lagi akan menjadi penghalang Anwar untuk menjawat jawatan tersebut, sama seperti ketika di dalam kerajaan dulu?,” soalnya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi BN Ampang seterusnya berkata biarpun Tun Mahathir mengatakan bahawa dia tidak mahu untuk kembali menjadi perdana menteri, namun bagi mereka yang mengenali seni politik Tun Mahathir, pastinya tidak akan mempercayai bulat-bulat apa yang dikatakan oleh pemimpin politik veteran tersebut.

“Siapa yang mengikuti perkembangan politik  Tun Mahathir, atau pun terlibat berpolitik ketika beliau memegang jawatan dulu, pasti tahu cara dan stail Tun Mahathir berpolitik. Apa yang beliau nafikan itulah yang berlaku. Dulu beliau menafikan mempunyai krisis dengan Tun Musa Hitam, namun akhirnya Tun Musa Hitam meletakkan jawatan.

“Begitu juga dengan Anwar, beliau menafikan bahawa wujudnya konflik antara beliau dan Anwar. Namun tidak lama selepas itu, Anwar dipecat dari jawatan TPM. Sama juga seperti isu beliau mahu kembali menjadi PM. Hari ini beliau nafikan, tetapi akan datang belum tentu beliau akan menolak jawatan itu,” tegasnya.

Berdasarkan senario politik pembangkang hari ini, beliau menegaskan bahawa matlamat parti-parti politik pembangkang yang ada hari ini hanyalah semata-mata bermotifkan kuasa dan dendam, tidak lebih dari itu.

“Kalau kita lihat senario politik pembangkang hari ini, nampak jelas sikap mementingkan diri sendiri, fitnah memfitnah sesama sendiri, usaha jatuh menjatuhkan sesama sendiri. Pembangkang bukan hanya setakat bermain politik dengan musuh mereka seperti UMNO dan BN, malah mereka juga bermain politik sesama sendiri.

“Sebab itu pembangkang sukar untuk mencapai kata sepakat di antara mereka. Masing-masing hanya memikirkan tembolok sendiri. Bak kata pepatah Melayu, bagaikan enau dalam belukar, mahu melepaskan pucuk masing-masing. Dan apa yang jelas, mereka mempergunakan rakyat demi untuk mencapai matlamat politik peribadi dan kepartian masing-masing,” jelasnya.-MediaUMNO

LAMAN WEB RASMI UMNO MALAYSIA

Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Tingkat 38, Menara Dato' Onn, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia