7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA,
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

SAYAP PARTI


7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

KLUANG, 15 April – Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang bakal ditubuhkan di negara ini diyakini dapat membantu usaha negara-negara Islam dalam membetulkan persepsi masyarakat dunia terhadap imej Islam hari ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata usaha untuk membetulkan persepsi dilihat penting memandangkan dunia kini berdepan dengan pelbagai ancaman termasuk militan Daesh yang bukan sahaja memerlukan tenaga ketenteraan untuk mengekangnya tetapi strategi naratif terhadap ideologi Daesh.

KLUANG, 15 April — Menteri Pertahanan dan Menteri Dengan Tugas Khas yang juga Anggota Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersalaman dengan penduduk Kahang Timur ketika Perasmian Berkelompok UMNO Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Kahang Timur dan Felda Ulu Dengar di Rumah Komuniti Felda Kahang Timur hari ini.
–fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

Hishammuddin berkata pemilihan Malaysia sebagai lokasi pusat itu oleh Arab Saudi menggambarkan kepercayaan negara berkenaan terhadap imej Malaysia sebagai negara Islam yang mengamalkan kesederhanaan.

“Dr Mohamed Abdul Kareem Al-Issa (Penasihat Raja Arab Saudi) menyatakan sendiri yang mereka boleh memilih mana-mana negara yang lebih kaya, lebih besar, lebih maju tetapi mereka pilih Malaysia kerana mereka melihat Malaysia menggambarkan imej Malaysia yang sebenar, yang sederhana, yang bertoleransi, berkasih sayang dan aman, dalam dunia melihat Islam sekarang dari segi kaca mata yang cukup menyedihkan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertemuan Mohamed Abdul Kareem, yang juga Ketua Setiausaha Liga Islam Sedunia dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis lepas.

“Maklumat terperinci mengenai pusat itu akan diumumkan semasa lawatan Timbalan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman ke Malaysia tidak lama lagi,” kata beliau.

Penaung pusat berkenaan terdiri dari Raja Arab Saudi sendiri Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan juga Yang di-Pertuan Agong manakala peranan penggerak pusat itu akan diambil oleh Timbalan Putera Mahkota Arab Saudi, Menteri Pertahanan Arab Saudi dan juga Menteri Pertahanan Malaysia.

KSCIP diilhamkan Raja Arab Saudi yang disampaikan ketika lawatan rasmi baginda di Malaysia bulan lepas.
Terdahulu, Hishammuddin merasmikan Kelompok UMNO Cawangan Felda Kahang Timur dan Felda Ulu Dengar di Balai Aktiviti Felda Kahang Timur, di sini hari ini.

Menyentuh kawalan sempadan negara, Hishammuddin berkata penggemblengan tenaga yang lebih erat bersama negara jiran perlu diadakan secara bersepadu dalam memastikan perairan dan sempadan negara terus terkawal.

Beliau berkata penglibatan tiga negara iaitu Malaysia, Filipina dan Indonesia, dalam mengawal sempadan terbukti berkesan dengan pembebasan lima mangsa penculikan warga Malaysia baru-baru ini yang turut dibantu negara berkenaan.

Hishammuddin berharap kerjasama tiga negara itu dapat diperkukuhkan lagi dengan pelancaran Kawalan Maritim Tiga Hala tidak lama lagi.

LAMAN WEB RASMI UMNO MALAYSIA

Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Tingkat 38, Menara Dato' Onn, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia