7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA,
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

SAYAP PARTI


7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

KUALA LUMPUR, 14 April – Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara (AKULN) mengutuk sekeras-kerasnya serangan bom tidak berperikemanusiaan di di Gereja Koptik Mar Girgis di Tanta yang telah meragut 29 nyawa dan mencederakan 71 orang manakala serangan kedua ke atas Gereja Kathedral Koptik Ortodoks Saint Mark di Iskandariah yang mengorbankan 18 orang dan mencederakan 66 orang rakyat Mesir baru- baru ini.

Pengerusinya, Wan Md Hazlin Agyl turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Mesir dan keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tragis tersebut.

Lantaran serangan itu, beliau menasihatkan agar mahasiswa di Mesir tidak panik akan situasi yang berlaku dan seboleh-bolehnya mengelakkan daripada menyebarkan secara tular (viral) maklumat yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran keluarga di tanah air.

“Keadaan yang berlaku ini sudah pasti menimbulkan rasa gusar di hati semua pihak terutamanya keluarga di Malaysia. Jadi, bila sesuatu perkara itu disebarkan secara tidak sahih maka ini boleh menimbulkan keadaan panik.

“Saya juga berharap agar kita jangan mudah mempercayai apa yang disebarkan di media sosial kerana ini merupakan salah satu usaha susulan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memecahkan kesatuan rakyat dan mensabotaj kepentingan negara,” ujarnya melalui satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Ekoran daripada kejadian bom tersebut, Presiden Mesir telah pun mengumumkan ‘State Of Emergency’ (Perintah Darurat) yang dikenakan di seluruh pelusuk Mesir selama tiga bulan.

Perintah Darurat ini, membawa pengertian secara khusus sebagai Perintah Berkurung (Curfew), namun penguatkuasaan yang lebih kepada pihak polis bagi mengawal ketenteraman negara. Manakala pihak tentera turut dikerah untuk memberikan bantuan sewajarnya kepada pihak polis.

Namun begitu, perintah ini akan dibawa ke Parlimen terlebih dahulu sebelum dilaksanakan sepenuhnya berlandaskan perundangan Mesir. – MediaUMNO

LAMAN WEB RASMI UMNO MALAYSIA

Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Tingkat 38, Menara Dato' Onn, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia