7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA,
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

SAYAP PARTI


7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

NANJING (CHINA), 22 Mac – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim menegaskan bahawa kekuatan UMNO tidak bergantung kepada kelemahan atau kecelaruan dalam pakatan pembangkang sebaliknya bersandarkan kepada kekukuhan dalam parti sendiri.

Ujarnya, kecelaruan dan pengumuman keluar secara beramai-ramai ahli dalam beberapa parti politik pembangkang baru-baru ini memang sudah dijangka memandangkan perkara sebegini sering wujud di kalangan mereka, apatah lagi sebuah parti baharu yang diwujudkan tidak begitu jelas pendiriannya dan mempunyai matlamat yang kabur.

“Ada kumpulan yang menyertai parti-parti pembangkang ini melihat seolah-olah wujud sebuah platform baharu untuk mereka sertai khususnya bagi menentang kepimpinan UMNO kerana barangkali ada salah faham atau terpengaruh dengan manipulasi yang ada.”

Katanya, sebagai ahli UMNO, keutamaan adalah untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada parti dengan cara terus meyakinkan rakyat berkaitan apa-apa yang sedang kita lakukan, melaksanakan jani-janji dan terus berkhidmat.

“Dengan insiden yang berlaku, ia tidak akan dapat menyelesaikan tugas dan matlamat yang kita harapkan untuk meneruskan perjuangan UMNO tetapi saya secara peribadi mengalu-alukan mana-mana pihak yang sebelum ini terpengaruh dengan janji-janji pembangkang tetapi kini sedar bahawa mereka tertipu untuk kembali bersama UMNO dan menjalankan tugas serta peranan kita sebagai ahli parti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang keluar parti di Baling dan Bakri serta ahli DAP di Melaka baru-baru ini.

Walaupun begitu katanya, penghijrahan dan tindakan keluar parti dalam pakatan pembangkang ini bukanlah kelebihan yang bakal kita perolehi kerana ia tidak akan memberi jaminan kepada kejayaan UMNO.

“Untuk berjaya, kita kena kuatkan parti kita. Untuk kuat kita perlu bersatu, kita perlu terus taat setia dengan parti dan paling penting kita terus menjalankan khidmat kita kepada rakyat, bukan bergantung kepada pakatan pembangkang.

“Ramai di bawah sana sedang memerhati, adakah kita hanya berlegar dalam urusan politik atau kita lebih memberikan tumpuan kepada prestasi, pencapaian kita, kepada janji-janji yang kita lakukan terutama dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat agar menjadi lebih selesa.

“Tugas kita tidak akan terhenti malah mungkin ini akan dapat memberikan sedikit ransangan untuk bekerja lebih keras, tekun dan lebih amanah kerana ia membuktikan kita berada di atas landasan yang betul berdasarkan kepada kesungguhan dan keikhlasan bagi membantu rakyat,” uarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Muar.

Razali yang mengetuai 15 orang delegasi UMNO dalam kunjungan hormat kepada Parti Komunis China (CPC) akan berada di tiga wilayah China iaitu Nanjing, Yangzhao dan Ningxia sejak 15 Mac lalu untuk rangka lawatan selama 10 hari. Hubungan akrab tersebut adalah antara persetujuan antara UMNO dan CPC melalui perjanjian persefahaman yang telah dimetrai antara kedua-dua parti. MediaUMNO

(Laporan wartawan eksekutif UMNO-Online, Mohd Faizal Mohd Salleh & Jurugambar, Mohd Fikri Mohd Fauzi yang kini turut menyertai delegasi kunjungan hormat UMNO kepada CPC dari 15-25 Mac)

LAMAN WEB RASMI UMNO MALAYSIA

Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Tingkat 38, Menara Dato' Onn, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia