7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA,
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

SAYAP PARTI


7 DEKAD MEMPERJUANG BANGSA
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Beberapa pemimpin Dap khususnya Penasihat mereka, Lim Kit Siang hari ini panas punggung apabila ‘diusik’ oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa di Dewan Rakyat.

Dalam sesi perbahasannya yang kebetulan selepas perbahasan Lim Kit Siang, Annuar mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Gelang Patah kerana hari ini menyambung tempohnya yang begitu lama di Parlimen serta menguasai parti dalam arena politik negara.

“Dalam sejarah politik dunia kita mungkin terdengar atau melihat Tun Dr Mahathir 23 tahun, kita mungkin mendengar Presiden Marcos 31 tahun, mungkin kita mendengar Saddam Hussein 30 tahun, Robert Mugabe 37 tahun namun Gelang Patah mencapai 50 tahun dengan retorik politik. Saya ucapkan tahniah kepada beliau,” katanya.

Sejurus itu Kit Siang bangun untuk mencelah tanpa mendapat kebenaran yang juga turut disokong tindakannya oleh beberapa ahli parlimen lain.

Annuar Musa meneruskan ucapannya namun terus diganggu oleh Kit Siang dan Annuar menegaskan sepanjang Kit Siang berucap sebelum ini, Ahli parlimen Gelang Patah itu tidak diganggu.

“Ini adalah satu contoh yang nyata…saya dan rakan-rakan Ahli parlimen BN yang lain boleh duduk diam 20 minit memberi peluang, memberi penghormatan untuk mendengar setiap patah hujah di dalam dewan yang mulia ini. Tetapi Gelang Patah apabila saya sebut sedikit dia sudah melenting. Beliau menujukkan ‘the true colour’

“Saya mengulangi sekali lagi bahawa saya berkata Tun Dr Mahathir pernah berkata YB Gelang patah adalah seorang yang rasis. Saya tidak tahu sama ada betul atau tidak. Saya mengulangi sekali lagi…itu yang dikatakan oleh Tun Dr Mahathir,” katanya yang sekali lagi mendapat gangguan ahli parlimen pembangkang.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan menjunjung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Meneruskan perbahasannya, Annuar Musa turut menyentuh bagaimana kejayaan kerajaan pro rakyat adalah igauan bagi pembangkang.

“Kalau ekonomi negara baik, sudah tentu ianya tidak baik buat pembangkang, kalau perpaduan bertambah baik, tidak baik bagi pembangkang…kalau kerajaan makin stabil sudah tentu berita buruk buat pembangkang. Kita sangat memahaminya.

“Apabila negara asing datang melabur dengan banyak maka terkeluarlah cakap-cakap kononnya kita ini nak menjual negara. Dalam rekod sejak merdeka, antara negara yang satu ketika dahulu diberikan layanan istimewa untuk melabur dalam negara ini adalah negara Jepun.

“Kalau ada rekod menjajah negara kita dan ada rekod kemudiannya datang melabur dengan jumlah yang besar apakah hari ini kita telah dijajah oleh Jepun.

“Saya juga boleh sebut, beberapa projek penting seperti pembinaan Projek Terowong Air Pahang-Selangor juga mendapat pinjaman Jepun, program stesen jana kuasa Kenyir berjumlah 53.7 bilion Yen (RM2.08 bilion) dan Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi berjumlah 5.3 bilion Yen (RM205.6 juta) juga dari Jepun” katanya.

Sehubungan itu tegasnya dengan jumlah itu, apakah negara ini telah pun dijajah oleh Jepun.

“Jawabnya adalah tidak. Ini adalah contoh bagaimana usaha untuk menakut-nakutkan rakyat dengan pelbagai cara bagi menidakkan apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

LAMAN WEB RASMI UMNO MALAYSIA

Ibu Pejabat UMNO Malaysia, Tingkat 38, Menara Dato' Onn, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia